Cari Blog Ini

Selasa, 8 September 2020

Pembelajaran secara Maya: Persediaan diri yang kamu perlukan?


Selaku pendidik, entri sempena "Movement Control 2020" saya cuba untuk bicarakan secara santai mengenai pembelajaran secara "Remote Learning" atau Online Distance Learning (ODL) ataupun pembelajaran secara maya yang telah menjadi isu hangat dibicarakan dan omongan para pendidik pada masa ini. Saya percaya ramai diantara kita tahu bahawa isu COVID19 secara langsung telah mendesak ramai dikalangan pendidik supaya berubah dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran secara maya.  Ini jelas dapat kita perhatikan bahawa rata-rata pendidik sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti pada masa kini secara langsung atau tidak langsung dan sedaya upaya telah cuba menjadikan cara pembelajaran atas talian sebagai pengantara alternatif untuk menghadapi waktu sukar ini agar pelajar-pelajar mereka tidak ketinggalan dan sentiasa belajar dari rumah. Walaupun perlaksanaan ini mungkin agak sukar untuk diadaptasikan kepada sesetengah pendidik dan pelajar serta pengurusan, kita perlu akui, suka mahupun tidak, bersedia atau tidak kita sedang dan harus bersedia untuk menghadapinya dalam merentasi kemelut yang tidak dapat dijangka ini. Hemat saya, suka atau tidak, teknologi maya/atas talian amat diperlukan dalam keadaan semasa ini dan ianya adalah alternatif terbaik walaupun ianya pasti akan mengubah kaedah komunikasi pembelajaran antara kita semua. Dalam menghadapi kemelut ini, secara peribadi saya melihat ini adalah merupakan satu tanggungjawab bersama yang perlu digalas oleh kita (yakni saya dan kamu) serta pengurusan universiti untuk merangka satu sistem baru berpaksikan kepada pendidikan abad ke 21. Saya berpendapat jika kita bermatlamat dan berkehendak, saya yakin evolusi pendidikan secara maya/atas talian ini secara amnya pasti dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya mencapai objektif pembelajarannya.


Terdapat pelbagai cadangan dan usul telah diutarakan dipelbagai peringkat setakat ini dan saya percaya segala keputusan yang telah dibuat pastinya daripada cendiakawan-cediakawan yang hebat. Apapun usul perubahannya, saya percaya dasar "belajar" hendaklah kita utamakan. Saya sedar sebagai generasi yang terkesan pastinya kamu akan membandingkan corak pembelajaran yang berbeza dalam menguasai ilmu pengetahuan seperti apa yang biasa telah dihidangkan kepada kamu sebelum ini. Melalui sesuatu yang baru pastinya bukan mudah untuk kamu santapkan kerana pembelajaran secara maya ini amat memerlukan displin diri yang tinggi, motivasi berterusan, integriti dan ditambah pula dengan kekurangan fasiliti dan alatan. Pekara ini juga saya akui kerana kamu sebelum ini telah diberi penekanan belajar yang berbeza dan pastinya akan ada sebilangan dari kamu akan sukar untuk menerima pembelajaran dan pengajaran secara atas talian ini dengan baik. Walau bagaimanapun saya percaya jika ada usaha bersama antara saya dan 'self directed learning' yang baik dari kamu, kita pasti mampu merealisasikan pembelajaran yang berkesan secara atas talian ini dan mengharungi kemelut ini dengan jayanya.

Secara peribadi juga, saya melihat evolusi pembelajaran yang bakal kita lalui ini sebenarnya adalah mantap dan berkesan kerana kamu kini telah berada di dalam era sumber maklumat yang sangat luar biasa berbanding zaman sewaktu universiti saya. Yang pasti, jika dahulu saya terjumpa secebis maklumat yang tidak jelas, saya terpaksa menunggu untuk pelajaran berikutnya untuk meminta penjelasan daripada profesor atau pensyarah saya, atau jika saya mempunyai rakan dan nombor telefon, saya akan menelefon dengan berharap rakan sekelas saya akan menjadi sumber untuk saya mendapatkan sesuatu penerangan atau contoh. Berbanding dengan kamu pada hari, ternyata corak pembelajaran ini pastinya berbeza dan dari sudut positifnya, saya berpendapat ia sebenarnya akan lebih memudahkan jika kamu seorang yang pro-aktif dan "self learning centered", berdisplin dan sentiasa mahu belajar. Percayalah, bahawa kamu kini boleh belajar secara literal di mana sahaja, bila-bila masa dan ketahuilah juga bahawa pembelajaran pada masa kini boleh dilakukan serta-merta melalui pelbagai aplikasi dan terdapat jutaan sesawang yang pastinya akan membantu pembelajaran kamu dengan lebih baik. Segalanya telah terhidang di hadapan kamu sebenarnya pada masa kini, cuma untuk menguasai pembelajaran secara maya ini kamu hendaklah membina karakter kamu secara telus, berdisplin, pro-aktif serta sentiasa self-directed learning dalam melengkapi pengajaran dan pembelajaran. Saya akui mungkin terdapat diantara kamu akan menghadapi masalah dalam mengatur gerak kerja belajar pada peringkat awal ini, ditambah dengan sedikit kekangan internet mahupun alatan, dan saya percaya ianya hanyalah bersifat sementara dan pastinya ia akan berubah dari masa ke semasa. Sungguhpun begitu, kamu perlulah sedar disini bahawa pembelajaran secara maya juga mempunyai detik cabarannya. Ini kerana kamu akan belajar seorang diri di rumah sebenarnya dan ini akan membuatkan kamu menjadi terasing, cepat bosan, suka berada di set maya kamu sendiri dan tidak fokus terhadap pembelajaran, dan saya juga percaya ramai diantara kamu nanti akan bersikap acuh tidak acuh dan akan menjadi pasif terhadap sebarang gerak kerja pembelajaran secara maya yang telah diaturkan. Ini kerana lazimnya kehidupan kamu di alam kampus adalah menghadiri kuliah di dewan kuliah, menghadiri kelas tutorial, dibekal modul pembelajaran, mencari buku di perpustakaan dan bertemu pensyarah. Apapun yang berlaku pada saat ini pasti ada hikmahnya, yang penting pada ketika ini dan apa yang amat saya harapkan dari kamu ialah perubahan sikap dan membina karakter pembelajaran secara maya dengan cepat untuk sama-sama kita melaluinya.



Akhir kalam, saya bukanlah pemikir yang hebat tetapi percayalah inilah caranya kamu akan bekerja pada masa hadapan. Jika ramalan saya ini tepat maka saya pasti kamu sudah cukup untuk bersedia dan  menerima pekerjaan seperti ini pada masa itu.  Hemat saya, semua ini adalah cabaran buat kita, janganlah kita jadikan ianya satu penghalang sekiranya ilmu itu mahu kita perolehi. Saya pasti selagi kita boleh berhubung dan saling melengkapi untuk mendapatkan ilmu, kita pasti boleh belajar dan ingatlah displin yang tinggi, motivasi diri, integriti dan cara belajar yang tidak kebergantungan ialah elemen penting pada saat ini dan amat diperlukan kamu. Kemelut yang sedang kita hadapi ini adalah tanggungjawab kita bersama dan harus kita laluinya agar kelestarian agenda pendidikan untuk Agama, Bangsa dan Negara tercapai.




Ahad, 24 Jun 2018

LIMA (5) PERISIAN PERAKAUNAN MUDAH UNTUK PERNIAGAAN KECIL SEDERHANA

Kewujudan pelbagai perisian perakaunan percuma pada masa kini pastinya dapat memberi banyak manfaat dan juga peluang kepada ramai peniaga kecil sederhana untuk merekod dan menguruskan kewangan dalam perniagaan mereka dengan lebih mudah dan cekap. Namun begitu ramai yang tidak peduli akan kewujudan perisian perakaunan ini dan kajian jelas menunjukan ramai usahawan-usahawan kecil sederhana tidak cenderung untuk menggunakan perisian perakaunan ini (Muiz et al. 2014). Mengambil kesempatan daripada perisian perakaunan percuma yang boleh didapati pada masa kini dan tanpa sebarang kos perlu dikeluarkan, saya ingin kongsikan lima perisian perakaunan yang percuma untuk menjadi pilihan bagi sesiapa yang menjalankan perniagaan kecil sederhana. Setiap perisian ini mempunyai kelebihan masing-masing dan secara dasarnya ianya merangkumi aktiviti merekod transaksi, menyediakan invois, menyediakan set akaun yang lengkap, membolehkan akaun ditutup setiap hari, membolehkan laporan dicetak untuk kegunaan membuat keputusan perniagaan. Saya percaya, dengan menggunakan perisian perakaunan seperti ini sudah pastinya ia akan memudahkan usahawan industri kecil dan sederhana dalam membuat keputusan perniagaan mereka dengan baik, dapat mengurangkan kos pengurusan, meningkatkan peratusan penghantaran tepat waktu, meningkatkan produktiviti, meningkatkan imej syarikat, jualan dan seterusnya keuntungan syarikat.

1. Wave
  • Wave menyediakan system perakaunan yang percuma yang mana ianya membolehkan perniagaan kecil menjejaki perbelanjaan, menghantar invois, dibayar dan baki buku-buku mereka. Perniagaan boleh menghantar invois profesional dan melihat status invois dan pembayaran, jadi mereka akan tahu bila hendak mengharapkan wang dalam akaun bank mereka. Perniagaan boleh juga menerima kad kredit dan dibayar dengan lebih cepat dengan Wave.

2 Brightbook
  • Brightbook adalah merupakan perisian  perakaunan percuma dalam talian sistem Brightbook mudah untuk digunakan dan ianya direka untuk membantu  perniagaan kecil (i.e. usahawan) yang tidak mempunyai pengalaman perakaunan dalam menjalankan perniagaan mereka. Dengan perisian ini usahawan kecil boleh menghantar invois yang kelihatan lebih profesional, dapat mengesan bil dan mengetahui nilai hutang dengan mudah dan cekap

3 GnuCash  
  • GnuCash menyediakan satu pendekatan yang mudah untuk Simpan kira dan perakaunan untuk perniagaan kecil. Perisian perakaunan percuma ini boleh didapati untuk Android, Linux, Windows, OS X, FreeBSDm GNU dan OpenBSD. Perisian yang menguruskan invois, akaun perlu dibayar dan diterima, serta perbelanjaan pekerja dan juga gaji.

4 ZipBooks
  • ZipBooks menyediakan perakaunan yang baik dan mudah untuk digunakan Ianya satu perisian yang direka untuk membantu perniagaan kecil bergerak ke peringkat seterusnya. ZipBooks' starter adalah percuma yang menyediakan sistem invois tanpa had,  tanpa had vendor dan pelanggan, simpan kira yang tidak terhad, keupayaan untuk menyambung dan mengurus satu akaun bank, dan laporan kewangan.

5 SlickPie
  • SlickPie menyediakan satu sistem pengurusan perbelanjaan asas untuk membantu perniagaan kecil. Ianya adalah satu perisian pengurusan mudah untuk digunkan keranan sistem ini menyediakan segala-galanya untuk perniagaan kecil yang memerlukan perakaunan yang licin dan tepat.

Moga ianya bermanfaat!

Khamis, 3 Julai 2014

Bapa Wira Hatiku



Sempena Hari Bapa tahun ini, saya ingin kongsikan sedikit coretan di blog ini untuk sesiapa sahaja diantara kamu semua yang telah bergelar bapa. Tulisan ringan ini adalah satu perkongsian biasa yang saya pasti kamu telah dengari dan baca. Apapun yang saya harapkan disini ialah sedikit ingatan yang mungkin kita semua boleh berikan dengan sepenuh kasih dan sayang yang padu untuk insan yang bergelar bapa. Seperti mana ibu, seorang bapa yang baik juga adalah merupakan insan yang pastinya akan berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan anaknya. Berbanding ibu, cuma seorang bapa kebiasaan lebih suka menyembunyikan banyak pekara dan penglibatannya dalam membesarkan kita (tidak ditonjolkan secara terus).  Contohnya; memang benar ibulah insan yang selalu menelefon kita, tetapi sebenarnya bapalah yang mengingatkan ibu untuk menelefon kita. Kebiasaannya seorang bapa akan bertanya " telefonlah anak kita tu.., tanyalah dia kerja macam mana? ok ka tak. Sebenarnya, pada pandangan peribadi saya, seorang bapa selalunya agak ego dan seringkali menyembunyikan perasaannya. jika anda seorang bapa cuba anda perhatikan, walaupun setiap masa ibulah yang mendukung dan bersama anak-anak di rumah, tetapi sebaik pulang dari kerja kamu akan sibuk bertanyakan tentang aktiviti seharian anak-anak kamu. Sebagai seorang bapa yang baik, pastinya anda akan risau dan sering membentak dan marah sekiranya anak anda deman ataupun sakit? mungkin ekpressi ni tidak dapat diterjemahkan dengan sebaiknya. Tetapi sebagai bapa sebenarnya kamu risau dan amat menyanyangi anak kamu.

Adalah tidak dinafikan, seperti ibu, seorang bapa yang baik pastinya juga akan bersusah payah dan berperit jerih demi memastikan anak-anaknya bahagia. Maka wajarlah bagi kita mengangapnya wira di dalam sesebuah keluarga. Sebagai "wira" pastinya kebaikan yang dilakukan tidak akan dihebahkan dan ditonjolkan kepada anak-anaknya. Adalah saya akui bahawa setiap bapa pastinya memiliki peribadi dan personaliti yang berbeza (kuasa superhero yang berbeza). Apapun karakternya (kuasanya), pastinya dia amat menyayangi kamu dan akan melindungi kamu lebih dari nyawanya sendiri. Maka sebagai anak, haruslah kita sedari dan memberi sedikit perhatian dan sentiasa menyayanginya sepertimana dia menyangi kita. Akhir kalam dari saya untuk entri ini- Selamat Hari Bapa! (kepada kamu yang sudah bergelar bapa)